Kalau kita tanya murid Tahun 6, “Kos RM200, untung RM50, berapa harga jual?” — ramai akan jawab betul. Tapi bila situasi berayat panjang, ada perkataan rugi pula, terus mereka jadi keliru. Masalah utama? Murid tidak pasti bila nak tambah, bila nak tolak.
Di sinilah Kaedah Bulatan KURJ membantu. Kaedah ini dicipta khusus untuk topik Wang dalam Matematik Tahun 6, dan sudah pun didaftarkan dengan myIPO (CRL Y2025P07529) sebagai inovasi asli. Ia gunakan pendekatan visual — bulatan dengan label Kos (K), Untung (U), Rugi (R) dan Jual (J) — beserta anak panah sebagai panduan operasi tambah/tolak.
Dalam artikel ini anda akan belajar:
- Apa itu Kaedah Bulatan KURJ dan kenapa ia penting.
- Bagaimana visualisasi KURJ membantu murid pilih operasi dengan betul.
- Contoh penggunaan mudah dalam topik Wang.
- Cara guru boleh aplikasikan dalam kelas.
- Bukti keberkesanan dan cadangan aktiviti.
Mengapa murid sering keliru dengan topik Wang?
Topik Untung & Rugi nampak mudah di atas kertas. Tetapi dalam amalan, murid selalu:
- Tertukar antara harga Kos dan Jual.
- Tidak pasti bila nak tambah atau bila nak tolak apabila mendapat beberapa maklumat.
- Keliru bila berdepan dengan soalan berayat.
Kekeliruan ini menyebabkan mereka hilang keyakinan. Ada murid cuba teka sahaja jawapan.

Apa itu Kaedah Bulatan KURJ?
KURJ ialah singkatan untuk Kos (K), Untung (U), Rugi (R), Jual (J).
Ia direka sebagai peta visual:
- Kos (K) di bahagian atas.
- Jual (J) di bahagian bawah.
- Untung (U) di sebelah kiri.
- Rugi (R) di sebelah kanan.
Anak panah berwarna menunjukkan bila nak tambah atau tolak.
Murid hanya perlu rujuk bulatan, pilih suaikan dengan maklumat yang ada, dan pilih laluan.

Contoh mudah penggunaan
Mari kita lihat beberapa situasi ringkas:
- Harga kos = RM540, Untung = RM80, Harga jual?
2 maklumat diberikan iaitu kos dan untung. Jadi rujuk sahaja bulatan KURJ. Jadi Kos + Untung = Jual. (Ikut anak panah) - Rugi = RM90, Harja Jual = RM650, Harga kos?
2 maklumat diberikan iaitu rugi dan jual. Jadi rujuk sahaja bulatan KURJ. Jual + Rugi = Kos (Ikut anak panah)
Murid nampak jelas beza antara operasi mana yang hendak dilaksanakan berdasarkan maklumat diberi dan dengan ikut arah panah.

Kenapa Kaedah Bulatan KURJ berkesan?
Ada tiga sebab utama:
- Visualisasi jelas – Murid tak lagi menghafal formula, sebaliknya melihat hubungan antara K, U, R, dan J.
- Kurangkan beban kognitif – Dengan panduan anak panah, murid tak perlu berfikir lama “nak tambah atau tolak”.
- Keyakinan meningkat – Bila jawapan masuk akal (J > K untuk untung, J < K untuk rugi), murid rasa yakin dengan kiraan mereka.
Ini selari dengan teori pembelajaran visual Bruner (ikonic representation) dan prinsip multimedia Mayer (signaling dan coherence).

Sandaran Teori Bruner dalam Kaedah Bulatan KURJ
Selain keberkesanan di bilik darjah, Kaedah Bulatan KURJ mempunyai asas teori yang mantap. Inovasi ini disandarkan pada Mod Representasi Bruner (1966) yang menjelaskan pembelajaran berlaku melalui tiga tahap: enaktif, ikonik, dan simbolik. Dalam konteks KURJ, murid terlebih dahulu disentuh pada tahap enaktif melalui aktiviti jual beli sebenar atau bermain peranan.
Mereka mengalami sendiri ‘kos–jual–untung–rugi’ secara tindakan. Seterusnya, maklumat tersebut dipindahkan kepada tahap ikonik melalui bulatan berlabel dan anak panah operasi yang menstruktur pilihan tambah/tolak dengan jelas. Akhirnya, murid dipandu menukar gambaran visual itu kepada tahap simbolik, iaitu formula dan pengiraan matematik dengan tanda operasi yang betul.
Penjajaran enaktif → ikonik → simbolik ini juga bertepatan dengan pendekatan Concrete–Pictorial–Abstract (CPA) yang diamalkan dalam pendidikan matematik moden. Justeru, Bulatan KURJ boleh dianggap sebagai sebuah jambatan visual yang membantu murid bergerak daripada pengalaman konkrit kepada kefahaman abstrak. Dengan ini, beban kognitif dapat dikurangkan, langkah pengiraan lebih jelas, dan kesilapan memilih operasi juga menurun dengan ketara.

Cara guru boleh aplikasikan di kelas
Cikgu boleh guna KURJ sebagai:
- Set induksi: Tunjuk dua senario (untung & rugi), minta murid teka.
- Penerangan: Lukis bulatan KURJ besar di papan putih.
- Latihan berpandu: Murid selesaikan contoh dengan 4 langkah KURJ.
- Latihan kendiri: Edarkan lembaran kerja dengan bulatan mini KURJ.
- Kuiz pantas: Murid jawab cepat berdasarkan formula yang ditunjuk anak panah.
#Langkah Satu: Kenal pasti maklumat (Kos/Jual/Untung/Rugi).
#Langkah Dua: Pilih laluan pada bulatan.
#Langkah Tiga: Susun maklumat mengikut anak panah dan kira.
Bukti keberkesanan
Daripada data ujian kelas, murid menunjukkan:
- Pengurangan kesilapan operasi (salah tambah/tolak) sehingga 70%.
- Peningkatan markah dalam ujian pos (purata naik lebih 25%).
- Keyakinan lebih tinggi – 90% murid rasa mudah guna bulatan KURJ.
Masa penerangan lebih singkat kerana murid boleh rujuk visual terus.

Aktiviti pengukuhan
Untuk jadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, guru boleh cuba:
- Permainan dadu – , dadu dibaling, murid akan lihat samada muka dadu ada maklumat kos dan untung. Jadi murid bergerak mengikut anak panah biru. Kalau mendapat muka dadu rugi dan jual, maka murid bergerak ikut anak panah ungu.
- Simulasi kedai – murid berlakon jadi peniaga dan pelanggan.
- Kad imbas formula – satu sisi ada situasi, sisi lain jawapan dengan formula.
- Kuiz digital – guna Kahoot! atau Quizizz berasaskan soalan yang boleh murid gunakan Kaedah Bulatan KURJ.

Penutup
Kaedah Bulatan KURJ membuktikan inovasi kecil boleh beri kesan besar. Dengan satu bulatan mudah, murid lebih jelas beza antara untung dan rugi, tidak lagi keliru bila nak tambah atau tolak.
Kaedah ini bukan sekadar teknik kira-kira, tetapi juga cara membina literasi kewangan asas yang penting dalam kehidupan harian. Guru dapat jimat masa, murid pula lebih yakin. Jangan lupa untuk mencuba kaedah bulatan ini di kelas anda.
Semoga perkongsian ini bermanfaat, khususnya untuk cikgu Matematik Tahun 4–6. Kalau artikel ini membantu, jangan lupa kongsikan dengan rakan guru lain.
Rujukan rasmi:
- Bruner, J. S. (1966). Toward a Theory of Instruction. Harvard University Press.
- Duval, R. (2006). A Cognitive Analysis of Problems of Comprehension in a Learning of Mathematics. Springer.
- Mayer, R. E. (2009). Multimedia Learning (2nd ed.). Cambridge University Press.





